Seorang lagi Nabi Allah yang
diceritakan dari kecil di dalam al-Qur'an ialah Isa. Baginda diutus kepada kaum
Bani Israil dengan kitab Injil yang diturunkan sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut
dengan empat panggilan iaitu Isa, Isa putera Mariam, putera Mariam, dan
al-Masih.
Ibunya seorang yang sangat
dimuliakan Allah. Dia memilihnya di atas semua perempuan di semua alam.
Firman-Nya, "Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah
memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua
perempuan di semua alam'" (3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh
satu ujian yang amat berat daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang
Nabi dengan tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan
yang suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu
mukjizat kerana dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya diceritakan di dalam al-Qur'an.
Di sini, ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada Mariam atas perintah
Allah. Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan
malaikat membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
"Aku berlindung pada Yang
Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)!'
Dia (malaikat) berkata, 'Aku
hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk memberi kamu
seorang anak lelaki yang suci.'" (19:18-19)
Pada ayat yang lain, diceritakan
bahawa malaikat yang datang itu telah memberi nama kepada putera yang bakal
dilahirkan. Nama itu diberi oleh Allah, dan dia (Isa) akan menjadi terhormat di
dunia dan akhirat sambil berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai Mariam, Allah
menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan satu Kata daripada-Nya, yang
namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan di akhirat,
daripada orang-orang yang didekatkan." (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
"Bagaimanakah aku akan ada
seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan bukan
juga aku seorang jalang?" (19:20)
Malaikat menjawab,
"Dia (Allah) berkata,
'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami
membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami;
ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:21).
Maka lahirlah Isa putera Mariam
lebih enam ratus tahun sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa
dan ibunya satu ayat (tanda) bagi manusia, iaitu tanda untuk menunjukkan
kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga menyatakan bahawa Nabi
Isa adalah seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan
mereka berdua adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada tanah (3:59).
Itu menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada
tanah.
Kerasulan dan Kenabian
Isa adalah seorang Nabi dan juga
seorang Rasul. Baginda dan beberapa orang rasul telah dilebihkan Allah daripada
rasul-rasul lain. Ada yang Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia menaikkan
darjat, dan bagi Isa, Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya
dengan Roh Suci. Firman-Nya:
"Dan rasul-rasul itu,
sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang lain. Sebahagian ada yang
kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan Kami
memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia
dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh
Allah untuk membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi,
"Katakanlah, 'Kami percaya
kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan
kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang
diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada
Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan
kepada-Nya kami muslim.'" (2:136)
Akibat membeza-bezakan Nabi atau
Rasul dapat dilihat pada hari ini, iaitu Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah
pihak sebagai Tuhan atau anak Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan,
yang berhak membuat hukum agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda
diberi sebuah Kitab, Injil, yang mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi
pegangan Bani Israil. Selain menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan
mentaati Injil, baginda mengesahkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya.
Dua firman Allah menjelaskannya di sini, berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli
jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang
sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya,"
(5:46) dan,
"Aku (Isa) hanya mengatakan
kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah,
Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan
Taurat) ialah berita mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau
ummiy (7:157), dan janji dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang
berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga didapati di dalam Taurat dan
al-Qur'an.
Ketika baginda diutus, manusia
sedang berselisih dalam hal agama. Maka kedatangannya adalah juga untuk
memperjelaskan apa yang diperselisihkan. Firman Allah:
"dia (Isa) berkata, 'Aku datang
kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan kepada kamu
sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan; maka kamu takutilah Allah,
dan taatlah kepadaku.'" (43:63)
Baginda juga memberitahu tentang
kedatangan seorang rasul selepas baginda, yang namanya akan dipuji. Ayat yang
mengisahkannya berbunyi:
"Wahai Bani Israil,
sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum
aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang selepas
aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut setia
Seperti Nabi atau Rasul yang lain,
baginda mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan juga yang tidak setia atau
yang menentang. Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah dan kepadanya.
Mereka adalah muslim. Firman Allah:
"Dan ketika Aku mewahyukan
pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku'; mereka
berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman kami.'"
(5:111)
Pengikut-pengikut yang setia pula
menjadi penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
"Berkatalah
pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah;
kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.'"
(3:52)
Begitu juga bagi pengikut-pengikut
setia Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad. Semuanya menjadi penolong-penolong
Allah, untuk melaksana dan menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang
percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera Mariam
berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi
penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami
akan menjadi penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau bagaimana pun,
pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia memerlukan bukti selanjut untuk
megesahkan kebenarannya dan supaya hati mereka menjadi tenteram. Untuk itu
mereka memohon sebuah meja hidangan dari langit. Kisahnya berbunyi begini:
"Dan apabila pengikut-pengikut
yang setia berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, bolehkah Pemelihara kamu
menurunkan kepada kami sebuah meja hidangan dari langit?'
Dia (Isa) berkata, 'Kamu takutilah
Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'
Mereka berkata, 'Kami menghendaki
untuk memakan daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram, supaya kami
mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan supaya kami adalah antara
para saksinya.'" (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon kepada
Allah,
"Ya Allah, Pemelihara kami,
turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari langit, yang akan menjadi
bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat
(tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik
daripada pemberi-pemberi rezeki." (5:114)
Allah mengabulkan permintaannya.
Lantas, meja hidangan yang turun menjadi satu lagi mukjizat bagi Nabi Isa. Dan
ia juga menjadi nama sebuah surah di dalam al-Qur'an, iaitu surah kelima,
al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada kelahiran yang luar
biasa dan meja hidangan, Nabi Isa telah dikurniakan dengan beberapa mukjizat
lain. Ayat berikut menjelaskannya:
"Ketika Allah berkata, 'Wahai
Isa putera Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu,
apabila Aku mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada
manusia di dalam buaian dan setelah dewasa ..... dan apabila kamu mencipta
daripada tanah liat, dengan izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu
menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku, dan
kamu menyembuhkan orang buta, dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu
mengeluarkan orang yang mati, dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak
percaya antara mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang
nyata.'" (5:110)
Walaupun Nabi Muhammad hanya diberi
satu mukjizat, manusia ditegah daripada berkata bahawa Nabi Isa adalah lebih
mulia daripada Nabi Muhammad. Kerana, seperti yang sudah maklum, amalan
membeza-beza para Nabi dan Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak Mempercayai
Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak seperti kepercayaan sesetengah
orang iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa disalib tetapi diangkat naik ke langit.
Sebenarnya, Nabi Isa telah wafat di bumi, namun bukan disalib. Baginda telah
wafat selepas peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah tempat lain yang tidak
diceritakan di dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah melarikan diri
dari tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan baginda telah
wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila Allah berkata, 'Wahai
Isa, Aku akan mematikan kamu, dan menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku
membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak percaya .....'" (3:55)
"Dan aku (Isa) seorang saksi ke
atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku,
Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala
sesuatu." (5:117)
Akan tetapi, sebahagian daripada
kaum Bani Israil mengatakan bahawa mereka telah membunuhnya disalib. Allah
mengatakan yang sebaliknya pula. Apa yang berlaku hanya satu kesamaan sahaja.
Firman-Nya:
"ucapan mereka, 'Kami telah
membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul Allah.' Tetapi mereka tidak
membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya, tetapi hanya satu kesamaan yang
ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang berselisih mengenainya benar-benar
dalam keraguan terhadapnya; mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali
mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157)
Telah wujud lagi kepercayaan
terhadap Nabi Isa yang tidak disahkan Allah di dalam al-Qur'an, iaitu baginda
akan muncul lagi di bumi buat kali kedua. Itu tidak benar. (Sila rujuk artikel
Menanya Ustaz: kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan Imam Mahadi di ruangan
Soalan Lazim. Terima kasih.)
Terpesong
Setelah Isa wafat, beberapa perkara
telah berlaku. Pertama, orang-orang yang mengaku pengikut baginda telah
menubuhkan sistem berahib, atau berpaderi, atau sistem berulama dalam agama.
Sistem itu tidak dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:
"Dan rahbaniyah (sistem
berahib) yang mereka reka - Kami tidak menuliskan (menetapkan) untuk
mereka" (57:27).
Kemudian, antara mereka bersetuju
untuk mengangkat Nabi Isa sebagai Tuhan atau anak Tuhan, mungkin kerana
kelahiran yang luar biasa dan mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat
demikian telah terpesong dalam kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
"Merekalah orang-orang yang
tidak percaya (kafir), yang berkata, 'Sesungguhnya Allah, Dia ialah al-Masih
putera Mariam'" (5:17), dan
"orang-orang Kristian berkata,
'Al-Masih ialah putera Allah.' Itu adalah ucapan daripada mulut mereka, menurut
ucapan orang-orang yang tidak percaya sebelum mereka. Allah memerangi mereka!
Bagaimanakah mereka dipalingkan?" (9:30)
Satu bukti telah didatangkan Allah
untuk menunjukkan kepalsuan kepercayaan mereka. Buktinya adalah pada amalan
memakan makanan, berbunyi:
"Al-Masih, putera Mariam,
hanyalah seorang rasul; rasul-rasul sebelum dia telah berlalu. Ibunya seorang
wanita yang benar; mereka berdua makan makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami
memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka, kemudian perhatikanlah bagaimana mereka
berpaling." (5:75)
Nabi Isa dan ibunya makan makanan.
Tetapi Tuhan tidak makan. Kalau Dia makan tentu Dia mempunyai sebuah
"pintu kecil" untuk mengeluarkan makanan yang tidak diperlukan lagi.
Tuhan tidak ada pintu tersebut seperti yang terdapat di bahagian belakang badan
manusia atau haiwan.
Sekiranya hujah itu disampaikan
kepada orang-orang yang mempercayai Nabi Isa itu Tuhan atau anak-Nya, tentu
mereka akan berpaling juga dan tetap dengan kepercayaan mereka. Begitulah
manusia dengan kepercayaan agamanya. Mereka lupa menggunakan akal.
Akhirat
Kepercayaan serupa itu sungguh berat
di sisi Allah sehingga Nabi Isa akan ditanya di akhirat. Baginda akan ditanya
sama ada baginda telah menyatakan bahawa baginda dan ibunya adalah tuhan-tuhan
selain daripada Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai Isa putera Mariam,
adakah kamu mengatakan kepada manusia, 'Ambillah aku dan ibuku sebagai
tuhan-tuhan selain daripada Allah'?" (5:116)
Nabi Isa akan menjawab:
"Kepada Engkau sanjungan!
Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang aku tiada hak dengannya. Jika aku
mengatakannya, Engkau mengetahuinya, dengan mengetahui apa yang di dalam
jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang di dalam jiwa Engkau; sesungguhnya
Engkaulah yang mengetahui yang ghaib." (5:116)
Jawapannya bersambung lagi:
"Aku hanya mengatakan kepada
mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah,
Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan aku seorang saksi ke atas mereka
selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau
Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu."
(5:117)
Nabi Muhammad juga akan ditanya di
akhirat atas sesuatu yang amat berat juga. Baginda ditanya mengenai sambutan
kaumnya terhadap al-Qur'an. Jawapan baginda berbunyi:
"Wahai Pemeliharaku,
sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak
dipedulikan." (25:30)
Itulah yang berlaku pada hari ini. Ajaran
al-Qur'an tidak dipedulikan. Namun, masa masih ada untuk semua kembali kepada
ajaran al-Qur'an.
Belum ada tanggapan untuk "Kisah Nabi Isa"
Post a Comment