Tatacara hidup suami isteri Adam dan Hawa di bumi mulai tertib dan sempurna
tatkala Hawa bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang akan menjadi benih
pertama bagi umat manusia di dunia ini.
Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang. Pertama lahirlah pasangan Qabil dan
adik perempuannya yang diberi nama "Iqlima", kemudian menyusul
pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi nama
"Lubuda".
Kedua orang tua, Nabi Adam dan Siti Hawa, menerima kelahiran keempat
putera puterinya itu dengan senang dan gembira, walaupun Hawa telah menderita
apa yang lumrahnya dideritai oleh setiap ibu yang melahirkan bayinya. Mereka
mengharapkan dari keempat anak pertamanya ini akan menurunkan anak cucu yang
akan berkembang biak untuk mengisi bumi Allah dan menguasai sesuai dengan
amanat yang telah di bebankan ke atas bahunya.
Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang maka
membesarlah keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui masa kanak-kanak dan
menginjak masa remaja. Yang perempuan sesuai dengan kudrat dan fitrahnya
menolong ibunya mengurus rumahtangga dan mengurus hal-hal yang menjadi tugas
wanita,sedang yang laki-laki menempuhi jalannya sendiri mencari nafkah untuk
memenuhi keperluan hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian sedangkan
Habil di bidang perternakan.
Penghidupan sehari-hari keluarga Adam dan Hawa berjalan tertib sempurna
diliputi rasa kasih sayang saling cinta mencintai hormat menghormati
masing-masing meletakkan dirinya dalam kedudukan yang wajar si ayah terhadap
isterinya dan putera-puterinya,si isteri terhadap suami dan anak-anaknya.
Demikianlah pula pergaulan di antara keempat bersaudara berlaku dalam harmoni
damai dan tenang saling bantu membantu hormat menghormati dan bergotong-royong.
Keempat Anak Adam Memasuki Alam Remaja
Keempat putera-puteri Adam mencapai usia remaja dan memasuki alam akil
baligh di mana nafsu berahi dan syahwat serta hajat kepada hubungan kelamin
makin hari makin nyata dan nampak pada gaya dan sikap mereka hal mana menjadi
pemikiran kedua orang tuanya dengan cara bagaimana menyalurkan nafsu berahi dan
syahwat itu agar terjaga kemurnian keturunan dan menghindari hubungan kelamin
yang bebas di antara putera-puterinya.
Kepada Nabi Adam Allah memberi ilham dan petunjuk agar kedua puteranya
dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dikahwinkan dengan adik Habil yang bernama
Lubuda dan Habil dengan adik Qabil yang bernama Iqlima.
Cara yang telah di ilham oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Adam telah
disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang harus
dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan suasana damai
dan tenang yang meliputi keluarga dan rumahtangga mereka. Akan tetapi dengan
tanpa diduga dan disangka rancangan yang diputuskan itu ditolak mentah-mentah oleh
Qabil dan menyatakan bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil dengan
mengemukakan alasan bahawa Lubuda adalah buruk dan tidak secantik adiknya
sendiri Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut mempersunting adiknya
sendiri Iqlima sebagai isteri dan sekali-kali tidak rela menyerahkannya untuk
dikahwinkan oleh Habil. Dan memang demikianlah kecantikan dan keelokan paras
wanita selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus
kepada pertentangan dan permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa
dan timbulnya rasa dendam dan dengki di antara sesama keluarga dan sesama suku.
Kerana Qabil tetap berkeras kepala tidak mahu menerima keputusan ayahnya
dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri Iqlima maka Nabi
Adam seraya menghindari penggunaan kekerasan atau paksaan yang dapat
menimbulkan perpecahan di antara saudara serta mengganggu suasana damai yang
meliputi keluarga beliau secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah
perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing-
masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan dengan
catatan bahawa barang siapa di antara kedua saudara itu diterima korbannya
ialah yang berhad menentukan pilihan jodohnya.
Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh
ayahnya. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya sedangkan Qabil datang
dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk tanamnya yang rosak dan
busuk kemudian diletakkan kedua korban itu kambing Habil dan gandum Qabil di
atas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan
terjadi atas dua jenis korban itu.
Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Adam yang menanti
dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di mana kedua korban
itu diletakkan, terlihat api besar yang turun dari langit menyambar kambing
binatang korban Habil yang seketika itu musnah ternakan oleh api sedang karung
gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api dan tetap tinggal
utuh.
Maka dengan demikian keluarlah Habil sebagai pemenang dalam pertaruhan itu
karena korban kambing telah diterima oleh Allah sehingga dialah yang mendapat
keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu yang akan
dipersandingkan menjadi isterinya.
Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia
Dengan telah jalurnya keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan
menolak korban Qabil maka pudarlah harapan Qabil untuk mempersandingkan Iqlima
tidak puas dengan keputusan itu namun tidak ada jalan untuk menyoalkan. Ia
menyerah dan memerainya dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh dendam
terhadap Habil yang akan dibunuh di kala ketiadaan ayahnya.
Ketika Adam hendak berpergian dan meninggalkan rumah beliau mengamanahkan
rumahtangga dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan kepadanya agar menjaga
baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama ketiadaannya. Ia berpesan pula agar
kerukunan keluarga dan ketenangan rumahtangga terpelihara baik-baik jangan
sampai terjadi hal-hal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan
kekeluargaan yang sudah akrab dan intim.
Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan kesanggupan akan berusaha
sekuat tenaga menyelenggarakan amanat ayahnya dengan sebaik-baiknya dan
sempurna berpergiannya akan mendapat segala sesuatu dalam keadaan baik dan
menyenangkan. Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar dari mulut Qabil
namun dalam hatinya ia berkata bahawa ia telah diberi kesempatan yang baik
untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya
terhadap Habil saudaranya.
Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya datanglah Qabil menemui
Habil di tempat penternakannya. Berkata ia kepada Habil:"Aku datang ke
mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas
bumi ini."
"Apa salahku?"tanya Habil. Dengan asalan apakah engkau hendak
membunuhku?"
Qabil berkata:"Ialah kerana korbanmu diterima oleh Allah sedangkan
korbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang
cantik dan molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk dan tidak
mempunyai gaya yang menarik itu."
Habil berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku
dan menolak korbanmu?Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang
diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan?Janganlah tergesa-gesa
wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah
perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah
bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang
menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni.Adakah
mungkin sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari
gandummu yang telah rosak dan busuk dan engkau berikan secara terpaksa
bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan
dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari
perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus
ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah.
Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu
yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah menyebabkan
turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau tetap
berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk
membalasmu kerana aku takut kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang
tidak diredhainya.Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan
bagi diriku."
Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengar oleh Qabil namun masuk
telinga kanan keluar telinga kiri dan sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk
hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati sehingga tidak ada tempat lagi
bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang kepada saudara sekandungnya. Qabil yang
dikendalikan oleh Iblis tidak diberinya kesempatan untuk menoleh kebelakang
mempertimbangkan kembali tindakan jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya,
bahkan bila api dendam dan dengkin didalam dadanya mulai akan padam dikipasinya
kembali oleh Iblis agar tetap menyala-yala dan ketika Qabil bingung tidak tahu
bagaimana ia harus membunuh Habil saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor
burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan
oleh Iblis itu diterapkannya atas diri Habil di kala ia tidur dengan nyenyaknya
dan jatuhlah Habil sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan
sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah manusia
Penguburan Jenazah Habil
Qabil merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat saudaranya.ia tidak tahu
apa yang harus diperbuat dengan tubuh saudaranya yang semakin lama semakin
busuk itu.Diletakkannyalah tubuh itu di sebuah peti yang dipikulnya seraya
mundar-mundir oleh Qabil dalam keadaan sedih melihat burung-burung sedang
berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habil yang sudah busuk itu.
Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak berlangsung lama kerana ditolong oleh
suatu contoh yang diberikan oleh Tuhan kepadanya sebagaimana ia harus
menguburkan jenazah saudaranya itu.Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih lagi Maha
Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan tidak berdosa itu
tersia-sia demikian rupa, maka dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana seekor
burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak
lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah digalinya,
dan menutupi kembali dengan tanah. Melihat contoh dan pengajaran yang diberikan
oleh burung gagak itu, termenunglah Qabil sejenak lalu berkata pada dirinya
sendiri:"Alangkah bodohnya aku, tidakkah aku dapat berbuat seperti burung
gagak itu dan mengikuti caranya menguburkan mayat saudaraku ini?"
Kemudian kembalilah Adam dari perjalanan jauhnya.Ia tidak melihat Habil di
antara putera-puterinya yang sedang berkumpul.Bertanyalah ia kepada
Qabil:"Di manakah Habil berada?Aku tidak melihatnya sejak aku
pulang."
Qabil menjawab:"Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba
Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."
Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari Qabil, Adam dapat
meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya yang soleh,
bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya itu.Pada akhirnya terbukti
bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu peninggalannya.Ia sangat
sesal di atas perbuatan Qabil yang kejam dan ganas itu di mana rasa
persaudaraan, ikatan darah dan hubungan keluarga diketepikan sekadar untuk
memenuhi hawa nafsu dan bisikan yang menyesatkan.
Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berpasrah kepada Allah menerimanya
sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniai kesabaran dan keteguhan
iman baginya dan kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi puteranya Qabil.
Kisah Qabil dan Habil Dalam Al-Quran
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang
anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika
mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri
kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan
tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):"
Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya
Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa; (Al-Maidah 5:27)
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh
saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan
orang-orang yang rugi .(Al-Maidah 5:30)
Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek
di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat
saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta
bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat
menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan
orang-orang yang menyesal. (Al-Maidah 5:31)
Pengajaran Dari Kisah Putera Nabi Adam a.s.
Bahawasanya Allah s.w.t. hanya menerima korban dari seseorang yang
menyerahkannya dengan tulus dan ikhlas, tidak dicampuri dengan sifat riyak,
takabur atau ingin dipuji.Barang atau binatang yang dikorbankan harus yang
masih baik dan sempurna dan dikeluarkannya dari harta dan penghasilan yang
halal.Jika korban itu berupa binatang sembelihan, harus yang sihat, tidak
mengandungi penyakit atau pun cacat, dan jika berupa bahan makanan harus yang
masih segar baik dan belum rusak atau busuk.
Bahawasanya penyelesaian jenazah manusia yang terbaik adalah dengan cara
penguburan sebagaimana telah diajarkan oleh Allah kepada Qabil.itulah cara
paling sesuai dengan martabat manusia sebagai makhluk yang dimuliakan dan
diberi kelebihan oleh Allah di atas makhluk-makhluk lainnya, menurut firman
Allah dalam surah "Al-Isra" ayat 70 yang bererti ; "Dan sesungguhnya
telah Kami muliakan anak-anak Adam.Kami angkut mereka di daratan dan di
lautan.Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka
dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami
ciptakan."
Belum ada tanggapan untuk " Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia"
Post a Comment